Monday, October 15, 2012

Biarlah Aku Yang Mengurusnya!

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum sahabatku semua! Semoga kalian berada dalam bahagia bersama cinta-Nya.
Gambar Hiasan

Cinta!
Saya cinta kamu!
Kamu cinta saya!
Kita cinta Dia!
Dia cinta Kita!

Haa.. cinta pada siapa? Ayah, Bonda, Abah, Mak, Papa, Mama, Abi, Ummi, Daddy, Mummy, dan yang sama waktu dengannya.. hehe..

Aku berasa bahagia kerana aku dicintai oleh kedua ibu dan bapa aku. Buktinya terlalu banyak untuk aku senaraikan. Aku pasti, sahabat-sahabat juga memiliki perasaan cinta kepada mereka. Senyuman bangga mereka terhadap kita umpama sebuah tanda kejayaan bagi kita. Tapi aku akui, diriku ini juga pernah merunsingkan mereka. (sorry mama, papa)

Segala jasa pengorbanan, penat lelah, ibu bapa kita mencari rezeki bagi memastikan meja makan di rumah sentiasa terhidang dengan makanan yang mencukupi. Ibu dan bapa yang sengaja menahan lapar semata-mata memastikan anak mereka makan secukupnya. Aduh, terlalu banyak untuk aku senaraikan dalam blog ini. Senang cerita, sahabat renunglah sendiri segala jasa kebaikan yang ibu dan bapa sahabat telah laksanakan... Itu yang nampak, kalau yang tidak nampak tu bagaimana pulak?? haaa....

Namun, pada kali ini ayuh kita berfikir sejenak sambil merenung pada masa hadapan..
Gambar Hiasan

Allah berfirman dalam surah Ali-'Imran ayat ke 185 yang bermaksud : "Setiap yang bernyawa akan merasai mati..."

Maknanya kita semua akan menemui saat perpisahan dengan dunia waqafan ini. Hal ini termasuklah IBU DAN BAPA kita.!

Baru-baru ini aku menyertai sebuah Kursus Pengurusan Jenazah anjuran Kelab Asy-Syakirin iaitu kelab surau di institut pengajianku. Macam biasalah, kami didedahkan dengan teori dan praktikal menguruskan jenazah, hukum hakamnya, inisiatif-inisiatif yang perlu diambil dan macam-macam lagilah!

Saat yang benar-benar menyentuh hatiku ialah apabila penceramah pada hari tersebut meminta seorang volunteer untuk dimandikan bagi slot memandikan jenazah. Aku fikir inilah peluangku untuk merasai bagaimana pengalamannya! (sahabat jangan fikir bukan-bukan pulak, aku dimandikan sambil berpakaian lengkap berbaju dan berseluar. Hensem dan bergaya) Senior dan sahabat-sahabatku juga secara sukarela untuk memandikan aku sebagai jenazah tadi.

Nak dijadikan cerita, penceramah tadi meminta sahabat-sahabatku tadi untuk memandikan aku dengan selemah-lembut yang mungkin. Umpama memandikan jenazah ibu bapa mereka sendiri. Walaupun gosokkan mereka itu boleh dikatakan lemah-lembut dan berhati-hati, namun aku masih tidak selesa. Haaaa.... Sahabat-sahabat nak tahu tak, saat itulah air mataku mengalir ketakutan dan keinsafan yang teramat sangat..

Aku terfikir sejenak ketika itu dua perkara :

Pertama
Bila saat kematian nanti, kita akan dimandikan dengan cara yang aku alami ini. Sangat tidak selesa dan bau kapur barus terlalu menusuk ke hidungku! Aduh, memang seksa sangat! (kalau tak percaya, sahabat pi la cuba mandi air kapur barus tu sendiri)

Gambar Hiasan
Kedua
Aku menanam azam dan nekad se'nekad'-'nekad'nya bahawa akulah yang akan menguruskan jenazah ibu dan bapaku serta keluargaku seluruhnya. InsyaAllah. Aku ingin memandikan mereka dengan lemah-lembut, meratakan air dengan sangat berhati-hati. Biarlah Aku Yang Mengurusnya!

Oleh itu, sahabat sekalian, biarlah kita yang mengurusnya. Bukan tidak percaya kepada pihak-pihak yang sudah terlazim dengan kerja-kerja sebegini. Cuma, pastinya ada perbezaan jika kita yang mengurusnya. Setuju bukan? Ketika sedang berdoa selepas solatkan jenazah mereka, pastinya susunan doa itu zahir daripada hati kita yang sangat mencintai mereka dan merindui mereka. Kitalah yang paling menginginkan kesejahteraan mereka di sana bukan? Untuk itu, kita WAJIB mempelajari dan memiliki ilmu tentang pengurusan jenazah. Carilah ilmu itu semata-mata kerana Allah, pastinya bantuan-Nya akan datang! InsyaAllah.

Cinta itu terzahir dari hati, percakapan dan juga perlaksanaan!








Saturday, September 29, 2012

Persaudaraan Universal

Assalamualaikum...

Segala puji bagi Allah yang Maha Agung lagi Maha Bijaksana. Apa khabar semua? Semoga sahabat semua dilimpahkan rahmat serta segala jenis kebaikan dan kesihatan. :-)

Gambar Hiasan
Pada kali ini aku cukup gembira untuk berkongsi sebuah FORMULA yang telah Allah didik kita tanpa kita sedari di mana aku pasti sahabat semua PASTI akan BAHAGIA membacanya. :-)

Tajuk kali ini ialah Persaudaraan Universal atau dalam bahasa Inggerisnya "Universal Brotherhood". Kita secara umumnya sudah maklum bahawa negara kita Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang terdiri dari pada berbilang bangsa. Malahan terdapat ratusan jenis bangsa yang pelbagai di seantero pelusuk dunia waqafan ini.

Aku yakin dan aku pasti sahabat-sahabat juga bersetuju bahawa Maha Suci Allah daripada melakukan perkara yang sia-sia. Tetapi, pernahkah kita terfikir bahawa apakah kaedah atau formula yang Allah didik kita untuk hidup dalam keadaan harmoni dengan menerima segala perbezaan ini?

Gambar Hiasan


Persaudaraan yang sama darah daging adakah titik nokhtah sebuah 'persaudaraan'?

Atau adakah persamaan bangsa merupakan lambang kepada sebuah persaudaraan?
Atau adakah persamaan warna kulit membuatkan manusia berasa 'sama' dan bersaudara?
Atau persamaan agama itu sebuah persaudaraan?
Atau bagaimana?



Surah al-Hujurat ayat ke 13:
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). 

Allah itu Maha Bijak, oleh itu Allah telah mencipta FORMULA bagi kita sebagai hamba-Nya yang lemah ini untuk hidup dalam keadaan yang harmoni, saling bergantungan dan bantu membantu demi mendapat rahmat dan keredhaan Allah S.W.T.. Rahsianya sebenarnya ialah :

JANGAN MEMBUNUH!
Gambar Hiasan
Allah sangat melarang hamba-Nya membunuh sesama sendiri. Hal ini pastinya akan memusnahkan tali persaudaraan dan akan menimbulkan kucar-kacir dan bencana. Buktinya jika sahabat rujuk pada surah an-Nisa ayat ke 93 Allah S.W.T. bersabda : Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Neraka Jahanam, kekal dia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melakanatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar. Penerangan tentang hukuman membunuh telah diterangkan sejelas-jelasnya pada ayat sebelumnya iaitu surah an-Nisa ayat ke 92.

Gambar Hiasan
ZAKAT DAN SEDEKAH.
Hal ini juga merupakan keseimbangan ekonomi yang telah Allah 'azza wajalla mendidik kita. Bayangkan jika semua manusia menunaikan zakat dan sentiasa bersedekah dan beramal jariah, PASTINYA tiada yang mati kebuluran. Setuju? Zakat juga merupakan tuntutan utama dalam Islam di mana ia juga merupakan RUKUN ISLAM kelima yang wajib dilaksanakan! Aku pasti sahabat semua sudah maklum tentang betapa tingginya martabat orang suka bersedakah bukan? Allah menyediakan pelbagai kelebihan bagi hamba-Nya yang bersedakah apatah lagi yang GEMAR BERSEDEKAH!

KASIHI DAN HORMATI JIRAN 
Haa... untuk yang ini aku pasti kita sering terlepas pandang. Aku rasa tidak usahlah aku terangkan panjang lebar apa itu yang dikatakan 'jiran'. Allah itu Maha Pengasih, Dia juga mahukan hamba-Nya sentiasa mengasihi antara satu sama lain. Baiknya Allah! :-) Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:"Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya". (Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim) Jelas bukan? 

JANGAN MENGUMPAT!
Aku pasti ramai dalam kalangan sahabat melihat perkara ini merupakan sesuatu yang boleh dikatakan berada di mana-mana sahaja. Malangnya, terdapat juga dalam kalangan kenalan yang terdekat. Aku melihat manusia-manusia yang gemar berbicara dan mencela saudara mereka sendiri di luar pengetahuan mereka. Allah itu Maha Mengetahui, Allah tahu jika perkara ini sering menjadi kebiasaan, pastinya tali persaudaraan itu HANCUR! Semak surah al-Hujurat ayat 11 hingga 12 :
Gamabar Hiasan
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. (al-Hujurat:11)
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (al-Hujurat:12)
Jadi? Agak-agak, berani tak kalau nak mengumpat? BERANI?? sepatutnya kita terasa terhina jika kita melakukan hal ini. Tapi aku tahu sahabat aku semuanya baik-baik, soleh-soleh, solehah-solehah. kan? kan? :-)

SOLAT BERJEMAAH
Gambar Hiasan
Allah bijak mendidik kita untuk solat bersama-sama. Sahabat semua sudah tahu bagaimana tatacara untuk solat berjemaah? Mudah dan 'kacang' jer.. Mula-mula pastikan sahabat semua berada dalam keadaan yang 'hensem' dan bersedia di dalam saf selepas iqamah dilaungkan. Berdiri rapat-rapat dengan jemaah yang lain, pastikan bahu bertemu bahu, selarikan tumit (ala.. macam yang imam cakap sebelum start solat tu). nak lagi best, senyum yang paling 'hensem' untuk orang sebelah kanan dan kiri. Haa... mudah kan?? Allah itu Maha Bijaksana, buktinya dalam solat berjemaah kita bersama-sama, rapat-rapat tidak mengira bangsa, kaum, jenis kereta yang dimiliki, jumlah gaji, fesyen rambut, warna kulit, dan banyak lagi. Hal ini mendidik kita sebagai manusia untuk berasa satu dan sentiasa menerima antara satu sama lain. Best tak? beesssttttt... :-)

HAJI
Ibadah haji merupakan ibadah yang aku sangat nanti-nantikan. Ya Allah, alangkah indahnya andai dapat kujejakkan kaki ke tanah suci-Mu. Sahabat, dalam haji juga mampu memupuk tali persaudaraan sesama kita dari SELURUH dunia! Antaranya :

Gambar Hiasan
  1. Dapat mengenali jemaah yang lain yang datangnya dari daerah, negeri dan juga negara yang lain. 
  2. Kesemuanya kelihatan sama ketika berihram. Tidak kira bangsa, kaya atau miskin. Mereka tetap kelihatan sama. Kita juga tidak akan perasan jika yang berada di sebelah kita itu ialah seorang usahawan yang berjaya dan kita juga tidak akan terlintas bahawa disebelah kita itu adalah seorang miskin sekalipun.
Oleh itu, saya berasa sangat bahagia kerana kita sebenarnya mampu untuk mengukuhkan pertalian persaudaraan sesama kita dengan melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya. Formula yang aku karang di atas merupakan sedutan nota-nota yang aku catat sewaktu aku menghadiri sebuah program pidato yang disampaikan oleh Dr. Zakir Naik seorang tokoh dakwah yang sangat hebat bagiku. 

Sebenarnya, lebih banyak lagi didikan yang Allah telah tunjukkan kepada kita. Kita akan nampak segalanya jika kita berfikir dan dahagakan ilmu pengetahuan. Aku sangat bahagia bersama sahabat semua, dan kita sangat bahagia dengan cinta milik Allah yang Maha Pengasih. 

Semoga sahabat-sahabat dikurniakan kebaikan yang banyak. Assalamualaikum saudaraku!







Sunday, September 16, 2012

Muhasabah Buta

Assalamualaikum..

Segala puji bagi Allah yang Maha Tahu Lagi Maha Bijaksana. Kali ini aku ingin berkongsi kepada sahabat semua tentang satu situasi yang telah benar-benar membuatkan aku terfikir sedalam-dalamnya. Ceritanya begini...

Gambar hiasan
Seusai solat maghrib, aku dipelawa oleh seniorku untuk menghadiri sebuah majlis tahlil. Nak dipendekkan cerita, setibanya ke destinasi. Aku dan beberapa orang sahabat dan ditemani pensyarahku singgah ke sebuah surau yang dinamakan Surau At-Taqwa. Kami melaksanakan solat Isya' berjamaah bersama penduduk di sana. Selesai solat, pandanganku dicuri oleh dua orang yang umurnya mungkin sebaya denganku (mungkin dalam 21 atau 22 tahun agaknya) tetapi cacat penglihatannya. Hatiku tiba-tiba bagaikan dipalu sekuat-kuatnya. Dua hamba Allah itu dipimpin oleh dua orang jejaka di mana mereka juga aku kenali sebagai teman se'usrah'ku..

Semua jemaah dimaklumkan untuk ke majlis yang bakal aku hadiri sebentar lagi. Termasuklah kedua-dua hamba Allah yang sudah kehilangan penglihatan mereka tadi. Setibanya di sana kami pun... bla..bla..bla... (macam biasalah majlis tahlil). Pandanganku sentiasa mencuri-curi melihat mereka berdua yang sedang asyik mengikuti bacaan surah yasin. Mujurlah sudah kuhafaz surah yasin itu (walaupun tergagap-gagap juga tadi). Namun hatiku sungguh tertarik dengan mereka berdua. Kalau orang lain melihat gelagatku tadi pastinya mereka menyangkakan aku tidak pernah melihat orang buta agaknya. Tapi sukar kugambarkan perasaanku pada masa itu. Bahagia? Runsing? Kasihan? Entahlah!

Kami pulang menaiki Toyota Estima milik pensyarahku. Sepanjang perjalanan pulang ke institut pengajianku, mindaku ligat memikirkan insiden yang kualami tadi. Soal hatiku :


Gambar hiasan
Pertama :
Disebabkan imanku yang kadang naik dan kadang turun ini, aku sering runsing dan resah tatkala diriku ditimpa musibah. "Kenapalah suwey sangat hari ni?" kata yang ringkas itu sebenarnya banyak pengajaran jika kita fikirkan balik. Wahai manusia, wahai sahabat-sahabatku.. Hitunglah kesyukuranmu bukan kekuranganmu!

Kedua :
Hatiku sering memikirkan bagaimanalah mereka melaksanakan aktiviti-aktiviti harian mereka. "Macam mana nak baca quran?" "Macam mana nak potong kuku?" "Macam mana nak buka facebook? (perlu ke?)" aduuuhhhh macam mana agaknya??? Wahai hati, syukurlah pada Allah. Cuba sahabat bayangkan, sanggupkan sahabat menukarkan kedua-dua mata dengan seguni emas?? segunung wang?? sanggupkah?? Inilah buktinya, segala yang telah Allah kurniakan, pancaindera, tubuh yang sihat adalah terlalu 'mahal' dan bernilai harganya.. Syukur pada-Mu ya Allah.. Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.

Ketiga :
Assignmentku yang masih belum keselesaikan lagi. Aduhhh, Time2 macam inilah boleh terlintas tentang hal assignment... oleh itu sahabat, laksanakan segala tugasan dan tanggungjawab kita ya.. Barulah aman bila kita sedang bermuhasabah.. (+.+'')...

Sebagai penutup, ayuhlah kita bersama-sama bermuhasabah.. Fikirkanlah sejauh mana kita meletakkan kesyukuran kita terhadap semua nikmat yang Allah kurniakan kepada diri kita sendiri.. Oksigen, cahaya, gigi, gusi, air liur, jari, kuku, mata, hidung, kaki. ... (kalau aku senaraikan, sampai bila-bila pun tidak habis-habis)..

Teringat pula pada surah Ibrahim ayat ke 7 :
Gambar hiasan

 "Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras."

Terima kasih kerana membaca.. Senyum2 selalu. Jzkk ;-)

Tuesday, April 26, 2011

10 Cara yang mendatangkan CINTA ALLAH


Salam Ukhwah buat semua! 
Semoga hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini.. Insya Allah!
Kali ini saya ingin berkongsi beberapa tips yang sangat menarik dan sangat bermanfaat buat sahabat-sahabat semua...
Sememangnya kita sebagai HAMBA kepada ALLAH SWT selalu menginginkan kasih sayang serta cinta dari-Nya... Alhamdulillah, dengan izin Allah, telah saya kumpulkan beberapa tips yang boleh kita sama-sama usahakan...
Demi Allah, lakukanlah sebaik mungkin bagi mendapat keredhaan Allah SWT terhadap kita...
Gambar hiasan
PERTAMAmembaca Al Qur’an dengan merenungi dan memahami maknanya. Hal ini boleh dilakukan sebagaimana seseorang memahami sebuah buku iaitu dia menghafal dan harus mendapat penjelasan terhadap isi buku tersebut. Ini semua dilakukan untuk memahami apa yang dimaksudkan oleh si penulis buku. [Maka begitu pula yang dapat dilakukan terhadap Al Qur’an)
KEDUA, mendekatkan diri kepada Allah dengan mengerjakan ibadah yang sunnah, setelah mengerjakan ibadah yang wajib.  Dengan inilah seseorang akan mencapai tingkat yang lebih mulia iaitu menjadi orang yang mendapatkan kecintaan Allah dan bukan hanya sekedar menjadi seorang pecinta.

Gambar hiasan
KETIGA, terus-menerus mengingat Allah dalam setiap keadaan, baik dengan hati dan lisan atau dengan amalan dan keadaan dirinya. Ingatlah, kecintaan pada Allah akan diperoleh sekadar dengan keadaan dzikir kepada-Nya. 


KEEMPAT, lebih mendahulukan kecintaan pada Allah daripada kecintaan pada dirinya sendiri ketika dia dikuasai hawa nafsunya. Begitu pula dia selalu ingin meningkatkan kecintaan kepada-Nya, walaupun harus menempuh berbagai kesulitan.
KELIMA, merenungi, memperhatikan dan mengenal kebesaran nama dan sifat Allah. Begitu pula hatinya selalu berusaha memikirkan nama dan sifat Allah tersebut berulang kali. Barangsiapa mengenal Allah dengan benar melalui nama, sifat dan perbuatan-Nya, maka dia pasti mencintai Allah. Oleh kerana itu, mu’athilah,  fir’auniyah, jahmiyah (yang kesemuanya keliru dalam memahami nama dan sifat Allah), jalan mereka dalam mengenal Allah telah terputus (kerana mereka menolak nama dan sifat Allah tersebut).
KEENAM, memperhatikan kebaikan, nikmat dan kurniaan Allah yang telah Dia berikan kepada kita, baik nikmat zahir mahupun batin. Inilah faktor yang mendorong untuk mencintai-Nya.
KETUJUH, -inilah yang begitu istimewa- yaitu menghadirkan hati secara keseluruhan tatkala melakukan ketaatan kepada Allah dengan merenungkan makna yang terkandung di dalamnya. 
Gambar hiasan
KELAPANmenyendiri dengan Allah di saat sepertiga malam yang terakhir untuk beribadah dan bermunajat kepada-Nya serta membaca kalam-Nya (Al Qur’an). Kemudian mengakhirinya dengan istighfar dan taubat kepada-Nya. 
KESEMBILAN, duduk bersama orang-orang yang mencintai Allah dan bersama para shidiqin. Kemudian memetik perkataan mereka yang seperti buah yang begitu nikmat. Kemudian  dia pun tidaklah mengeluarkan kata-kata kecuali apabila jelas maslahatnya dan diketahui bahwa dengan perkataan tersebut akan menambah kemanfaatan baginya dan juga bagi orang lain.
KESEPULUHmenjauhi segala sebab yang dapat menghalangi antara dirinya dan Allah Ta’ala.
Semoga kita semua dapat menikmati manisnya iman... InsyaAllah..
:-)

Wednesday, January 5, 2011

BULU KUCING????????

Cuba baca ni....
Jika bulu binatang yang tidak halal dimakan seperti kucing, monyet, musang dan sebagainya, terpisah daripada badannya ketika binatang itu masih hidup, maka bulu tersebut adalah najis apatah lagi sesudah binatang tersebut mati. Demikianlah juga anggota-anggotanya yang lain jika bercerai daripada binatang itu adalah dikira bangkai. (Mughni Al-Muhtaj, Kitab Ath-Thaharah, Bab An-Najasah ayat 1/115).

  HUBUNGANYA DENGAN SEMBAHYANG

Menurut hukum syarak syarat sah mengerjakan sembahyang itu hendaklah bersih daripada segala najis baik pada pakaian, tubuh badan dan tempat sembahyang. 

Oleh itu, jika terdapat bulu binatang yang hukumkan najis pada pakaian atau badan maka sembahyang itu tidak sah kerana menanggung sesuatu yang najis. Kecuali jika bulu  yang najis itu sedikit, seperti sehelai atau dua helai, kerana ia dimaafkan. Melainkan bulu anjing atau babi kerana ia tetap najis walaupun hanya sedikit. (AL-Feqh Al-Islami Wa Adilatuh ayat 1/175). 

Apakah yang harus dilakukan oleh orang yang sedang sembahyang mendapati ada bulu najis pada pakaiannya?


 Menurut Ashhab Asy Syafi’e, apabila orang yang sedang sembahyang itu mendapati ada najis yang kering pada pakaian atau badannya, maka pada saat itu juga hendaklah dia mengibas najis tersebut. Jika dia mendapati najis yang basah pula hendaklah dia segera menanggalkan atau mencarik pakaiannya yang bernajis itu tanpa menyentuh najis tersebut. Adapun jika dia tidak segera menanggalkan atau mengibas pakaian yang bernajis itu maka batal sembahyangnya. 

Pakaian yang terkena bulu yang najis hendaklah terlebih dahulu dibersihkan. Cara membersihkannya ialah jika bulu itu kering dan pakaian atau anggota badan yang tersentuh bulu itu juga kering adalah memadai dengan menanggalkan najis itu sama ada dengan mengibas, mengibar atau menyapunya. Adapun jika bulu itu basah ataupun pakaian atau anggota badan yang terkena najis itu sahaja yang basah maka hendaklah ditanggalkan najis itu dan dibersihkan dengan air yang suci disekitar yang terkena najis. (Fath Al-‘Allam, Kitab Ath-Thararah, Bab Izalah An-Najasah ayat 1/347). 

Oleh kerana persoalan memakai pakaian daripada bulu itu adalah berkaitan dengan persoalan hukum najis, maka perlulah kita berhati-hati dalam memilih dan memanfaatkannya supaya pakaian yang dipilih itu diyakini diperbuat daripada bulu yang suci dan boleh kita guna pakai seperti ketika sembahyang dan sebagainya.

Sumber : Mufti Brunei

Thursday, December 23, 2010

DIPOTONG TANGAN kerana memberi SEDEKAH

Assalamualaikum w.b.t...... Salam Ukhwah.. :-)

Pada kali ini saya ingin berkongsi sebuah cerita yang mempunyai unsur pengajaran yang tinggi dan bukti kekuasaan Allah S.W.T terhadap hambaNya... selamat membaca.. :-)  


Dikisahkan bahawa semasa berlakunya kekurangan makanan dalam kalangan Bani Israel, maka lalulah seorang fakir menghampiri rumah seorang kaya dengan berkata, "Sedekahlah kamu kepadaku dengan sepotong roti dengan ikhlas kerana Allah s.w.t." Setelah fakir miskin itu berkata demikian maka keluarlah anak gadis orang kaya, lalu memberikan roti yang masih panas kepadanya. Sebaik sahaja gadis itu memberikan roti tersebut maka keluarlah bapa gadis tersebut yang bakhil itu terus memotong tangan kanan anak gadisnya sehingga putus. Semenjak dari peristiwa itu maka Allah s.w.t pun mengubah kehidupan orang kaya itu dengan menarik kembali harta kekayaannya sehingga dia menjadi seorang yang fakir miskin dan akhirnya dia meninggal dunia dalam keadaan yang paling hina. 


Gambar hiasan
Anak gadis itu menjadi pengemis dan meminta-minta dari satu rumah ke rumah. Maka pada suatu hari anak gadis itu menghampiri rumah seorang kaya sambil meminta sedekah, maka keluarlah seorang ibu dari rumah tersebut. Ibu tersebut sangat kagum dengan kecantikannya dan mempelawa anak gadis itu masuk ke rumahnya. Ibu itu sangat tertarik dengan gadis tersebut dan dia berhajat untuk mengahwinkan anaknya dengan gadis tersebut. Maka setelah perkahwinan itu selesai, maka si ibu itu pun memberikan pakaian dan perhiasan bagi menggantikan pakaiannya. 

Pada suatu malam apabila sudah dihidang makanan malam, maka si suami hendak makan bersamanya. Oleh kerana anak gadis itu kudung tangannya dan suaminya juga tidak tahu bahawa dia itu kudung, manakala ibunya juga telah merahsiakan tentang tangan gadis tersebut. Maka apabila suaminya menyuruh dia makan, lalu dia makan dengan tangan kiri. Apabila suaminya melihat keadaan isterinya itu dia pun berkata, "Aku mendapat tahu bahawa orang fakir tidak tahu dalam tatacara harian, oleh itu makanlah dengan tangan kanan dan bukan dengan tangan kiri." 

Setelah si suami berkata demikian, maka isterinya itu tetap makan dengan tangan kiri, walaupun suaminya berulang kali memberitahunya. Dengan tiba-tiba terdengar suara dari sebelah pintu, "Keluarkanlah tangan kananmu itu wahai hamba Allah, sesungguhnya kamu telah mendermakan sepotong roti dengan ikhlas kerana Ku, maka tidak ada halangan bagi-Ku memberikan kembali akan tangan kananmu itu." 


Setelah gadis itu mendengar suara tersebut, maka dia pun mengeluarkan tangan kanannya, dan dia mendapati tangan kanannya berada dalam keadaan asalnya, dan dia pun makan bersama suaminya dengan menggunakan tangan kanan.

 Hendaklah kita sentiasa menghormati tetamu kita, walaupun dia fakir miskin apabila dia telah datang ke rumah kita maka sesungguhnya dia adalah tetamu kita. Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa menghormati tetamu, maka sesungguhnya dia telah menghormatiku, dan barangsiapa menghormatiku, maka sesungguhnya dia telah memuliakan Allah s.w.t. Dan barangsiapa telah menjadi kemarahan tetamu, dia telah menjadi kemarahanku. Dan barangsiapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya dia telah menjadikan murka Allah s.w.t." 

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, "Sesungguhnya tetamu itu apabila dia datang ke rumah seseorang mukmin itu, maka dia masuk bersama dengan seribu berkah dan seribu rahmat."
Wallahu'alam... :-)